Wednesday, May 16, 2012

Aidil Zafuan batal hasrat cerai Rita Rudaini


PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam membenarkan permohonan pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak, 25, menarik balik hasrat untuk bercerai dengan isterinya yang juga pelakon, Rita Rudaini Mohamad @ Mokhtar, 36.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu dan turut memerintahkan Mohamad Aidil Zafuan (plaintif) membayar kos kerugian kepada Rita Rudaini (defendan) sebanyak RM250 kerana menarik balik kes itu pada saat akhir iaitu sehari sebelum sebutan kes ditetapkan pada 15 Mei lalu.
Terdahulu, Mohamad Aidil Zafuan yang diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari mengemukakan tiga alasan berhubung penarikan balik permohonan bercerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 difailkan anak guamnya pada 12 April lalu.
Beliau berkata, permohonan untuk bercerai tidak dapat diteruskan berikutan defendan memberikan jawapan tidak bersetuju pada prosiding lalu selain anak guamnya berhasrat berbaik semula serta dalam proses mengarahkan isterinya kembali taat dan tinggal di rumah disediakan plaintif.

“Anak guam saya juga risau jika diwujudkan jawatankuasa pendamai akan ada campur tangan pihak ketiga yang akan mengeruhkan lagi keadaan. Pihak kami juga membantah permohonan kos yang diminta defendan kerana ia bukan kesilapan plaintif, sebaliknya defendan tidak bersetuju bercerai,” katanya.

Bagaimanapun, Rita Rudaini yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md Zain memberitahu mahkamah, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai penarikan balik itu beberapa jam sebelum prosiding bermula, kelmarin sekali gus memohon plaintif membayar kerugian ditanggung membabitkan masa dan perjalanan beliau, anak guamnya serta kos penerbangan bapa tiri Rita Rudaini, Johari Jonid, 62.

“Saya dan defendan (Rita) agak terkesima dengan apa diperkatakan plaintif (untuk menarik balik). Sepatutnya prosiding hari ini (semalam) adalah sebutan untuk melantik wakil ahli keluarga masing-masing bagi membentuk Jawatankuasa Pendamai.
“Kami sudah bersedia dan melantik bapa tiri Rita yang datang dari Kangar, Perlis sebagai menuruti arahan mahkamah. Oleh itu, kos RM500 harus dibayar plaintif,” katanya.

Selepas prosiding kes itu, Rita yang memakai jubah hitam dan bertudung merah jambu kelihatan tidak bertegur sapa dengan Mohamad Aidil Zafuan sebaliknya masing-masing pulang bersama ahli keluarga yang hadir ke mahkamah.

Mohamad Aidil Zafuan ketika ditanya di luar mahkamah berharap hubungannya dan Rita Rudaini kembali pulih demi dua anak mereka.

Sumber berita harian

No comments:

Post a Comment