1.
Anggapan sial atau membawa malapetaka kepada seseorang ataupun
masyarakat dengan kehadirannya dan amalan buang sial: tepung tawar,
Lenggang perut, Mandi bunga/Sintok limau dan Mandi Safar.
Islam
menganggap setiap orang itu ada qadar baiknya dan ada qadar buruknya
dan sama sekali tidak ada kesialan pada diri seseorang. Begitu juga
cara untuk menghindari sesuatu musibah adalah memohon kepada Allah
yang menciptakan segala-galanya bukannya dengan amalan-amalan buang
sial.
2.
Kepercayaan kepada hantu dengan alasan untuk tinggal selamat di suatu
tempat atau memberi makan kepada hantu peliharaannya ataupun
konon-kononnya untuk membayar niat tertentu.
Sesungguhnya
Islam dengan aqidah dan tauhid yang amat kental mengajak manusia agar
beriktikad bahawa segala sesuatu yang memberi bekas adalah Allah SWT
saja yang tidak ada sekutu dengannya. Oleh itu tidak perlu menjamu
kepada sesiapa kerana segalanya adalah makhluk ciptaan Allah SWT yang
amat lemah.
3. Ilmu seru
gerak yang kebiasaannya diamalkan oleh kumpulan silat yang
mengamalkan jurus kebatinan.
Islam
itu lengkap dan amat sempurna dari unsur-unsur luar yang bercadang
untuk menyempurnakan Islam. Ilmu mempertahankan diri adalah amat baik
dan Islam amat menggalakkan umatnya mempersiapkan kelengkapan dan
segala kekuatan bagi mempertahankan kesucian Islam tetapi bukan
dengan sesuatu yang tidak ada asalnya dari Islam seperti : ilmu seru
gerak dan jurus kebatinan.
4. Jampi serapah
yang ada unsur-unsur syirik atau menghina Islam atau tidak difahami
maksudnya.
Para
ulama berbeza pendapat dalam masalah membaca jampi serapah yang bukan
bersumber dari al-Qur’an dan hadits kepada beberapa pandangan.
Sebahagian mereka tidak mengharuskan sama sekali sebarang jenis
bacaan jampi jika bukan dari al-Qur’an mahupun hadits. Tetapi
sebahagian yang lain mengharuskan dengan syarat difahami maknanya dan
tidak ada unsur-unsur yang dilarang dalam agama di dalam bacaan jampi
tersebut. Seperti : seruan kepada sesuatu, menghina Allah, Nabi
Muhammad SAW, ajaran Islam, memohon sesuatu kepada selain Allah SWT,
termasuk meminta keapad batu atau kayu dan sebagainya.
5. Mempercayai percakapan,
ramalan dan tilikan dukun samada terhadap perkara yang telah lalu
atau di masa akan datang.
Sebahagian
daripada perkara yang haram, berdosa besar bahkan syirik di dalam
Islam ialah mempercayai tilikan dukun.
6. Memohon dengan
percakapan atau ungkapan yang tidak ada asal usul suruhan dalam Islam
seperti kata-kata “Tabik Tok Nenek” ketika melalui sesuatu tempat
atau “Minta simpang Malaikat 44” ketika mengharapkan sesuatu yang
tidak diingini.
7.
Penggunaan tangkal di rumah atau dipakai di badan yang bukannya dari
sesuatu yang tsabit dalam agama serta tidak dijaga dari dibawa ke
tempat-tempat yang bukan suci.
Pada
kebiasaannya penggunaan tangkal akan menyebabkan seseorang bertumpu
kepada tangkal dan merasakan dirinya selamat selama tangkal itu
berada dengannya. Maka sebab itulah Baginda Nabi SAW melarang
penggunaan tangkal.
8.
Meletakkan Ladam Kuda dipintu rumah dengan alas an boleh menghindari
dari gangguan makhluk halus.
9.
Mengantung isim yang dipahat di logam tertentu dengan berbagai-bagai
rajah dan tulisan yang bukannya ayat al-Qur’an atau sesuatu yang
warid dalam agama.
10.
Bersahabat dan meminta pertolongan kepada Jin/Khadam/Masuk Tok Nenek
dalam badan (menurun).
Islam
amat melarang umatnya bersahabat, meminta pertolongan dan apatah lagi
berkahwin dengan golongan jin yang kejadiannya, seleranya dan
kehidupannya amat berbeza sama sekali dengan manusia.
11. Mengamalkan
ilmu pengasih
Ilmu
pengasih atau ilmu yang didakwa dapat menawan hati seseorang samada
dengan tujuan baik, iaitu ingin bernikah, ataupun dengan tujuan yang
jahat, iaitu ingin memperdaya seseorang adalah haram di sisi agama.
Ia termasuk dalam kelompok ilmu sihir, walaupun dengan menggunakan
ayat al-Qur’an yang ditokok tambahkan dengan kalimah-kalimah
tertentu.
12. Perasapan kemenyan
dengan tujuan supaya menghalau jin dan hantu di dalam rumah dan
menjemput malaikat datang ke rumah.
Amalan
yang terdapat dalam masyarakat Melayu ialah perasapan kemenyan pada
malam Jumaat. Dengan alasan, agar rumahnya didatangi oleh para
malaikat ataupun untuk menghindari rumahnya dari dimasuki oleh iblis
syaitan ataupun untuk menyepuh keris-keris atau sebarang jenis
senjata warisan dan sebagainya. Sebenarnya amalan-amalan seumpama ini
adalah amalan yang bersumberkan kepada ajaran agama Hindu dan jelas
bercanggah dengan ajaran Islam bahkan dapat mengundang kemudharatan
kepada pelakunya.
13.
Meletakkan air di dalam bekas untuk dijamukan kepada para malaikat
“Air Malaikat”.
Sesungguhnya
Malaikat merupakan makhluk ciptaan Allah SWT daripada Nur atau cahaya
yang tidak pernah menderhakai Allah SWT walaupun mereka tidak
mempunyai nafsu, tidak makan, minum, tidur, berkahwin, beranak
ataupun melakukan sesuatu yang disebabkan nafsu. Maka bagaimana
mungkin air boleh disediakan untuk minuman para malaikat? Ini adalah
disebabkan kejahilan tentang perkara agama.
14. Menganiaya
atau menzalimi orang melalui sihir, santau dan pukau.
Tujuan
mereka untuk menguji ilmu mereka, membantu orang lain yang bermusuhan
dengan seseorang, memintas perniagaan seseorang, mencuri atau ingin
mengambil hak milik seseorang bukan dengan secara hak. Kesemua itu
zalim namanya yang sangat layak diancam dengan azab yang amat pedih
oleh Allah SWT.
15.
Pemakaian susuk untuk mencantikkan muka dan badan atau lainnya.
Merubah
sesuatu yang telah dijadikan oleh Allah SWT kepada manusia
adalah haram.
Seperti firman Allah dalam Surah
at-Tin, ayat 4 :-
“Sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan
berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya)”.
16. Pemakaian
raksa atau apa-apa logam untuk menguatkan tubuh badan atau untuk
kuatkan rangsangan seks.
Pemakaian
raksa boleh mengkategorikan sebagai merubah ciptaan Allah SWT dan
amaln sihir, kerana pemakaian raksa akan menyebabkan seseorang itu
menjadi kuat, kebal, tidak penat bekerja berat. Jampi serapah serta
amalan tertentu diperlukan untuk memasukkannya seperti pemakaian
susuk.
17. Menggunakan
objek untuk menakuti jin.
Menggunakan
sesuatu objek dengan alasan golongan jin akan takut kepada benda
tersebut ataupun bermain dengannya, seperti menabur beras kunyit di
dalam rumah, menabur kacang hijau atau lada hitam, menyembur air
garam ataupun cuka di rumah, meletakkan sesuatu benda yang berduri di
dalam rumah.
18. Kepercayaan
kepada kebolehan benda memberi mudharat dan manfaat.
Mempercayai
sesuatu objek boleh memberi mudharat dan manfaat seperti batu zamrud,
kayu koka, kemuning hitam, raja kayu, teras kilo dan buluh tumpat.
19. Kepercayaan
kepada tuah keranda.
Lari
dibawah keranda seseorang yang kita terlalu kasih supaya tidak
teringat kepadanya.
Sebahagian
dari fahaman khurafat yang masih lagi menyelubungi umat Islam dalam
masyarakat kita ialah fahaman-fahaman seperti :-
- Jangan makan nasi di dalam periuk atau belanga nanti jadi fakir.
- Jangan main batu baling (batu tujuh) dalam rumah nanti sempit rezeki.
- Jangan sapu rumah atau buang sampah pada waktu malam nanti sempit rezeki.
- Rebus batu atau panah matahari dengan cili kering atau sambung baju pengantin sampai ke atas bumbung yang kesemuanya itu supaya tidak turun hujan.
20. Menzalimi
binatang seperti amalan memindahkan penyakit kepada binatang atau
menyihir seseorang dengan menggunakan katak atau binatang lain.
Tindakan
menzalimi binatang dengan alasan untuk menyelamatkan manusia tidak
dapat diterima akal dan syarak, bahkan termasuk dalam amalan sihir
yang dilaknati Allah SWT.
21. Kepercayaan
kepada kebolehan seseorang mendatangkan mudharat atau manfaat.
Mempercayai
seseorang wali, keramat atau seseorang seperti bomoh dan dukun boleh
mendatangkan kemudharatan ataupun manfaat.
22. Kepercayaan
kepada kejadian alam sebagai isyarat masa depan.
Mempercayai
sesuatu perkara atau bunyi yang berlaku ada kaitan dengan apa-apa
perkara atau kaitan dengan orang tertentu, seperti bunyi cicak atau
burung, kucing atau biawak melintas dalam perjalanan akan membawa
malapetaka.
23. Membaca
ayat al-Qur’an secara songsang ataupun dihentikan pada tempat yang
salah dari segi tajwid dengan alasan tertentu yang bercanggah dengan
syarak.
Umpamanya
membaca surah al-Fatihah atau surah al-Ikhlas terbalik kononnya
dengan tujuan perubatan atau untuk menghantar balik sihir yang dibuat
oleh orang lain. Amalan ini jelas bercanggah dengan ajaran Islam
berdasarkan firman Allah SWT, yang mencela sikap golongan Yahudi yang
mengubah-ubah ayat-ayat Allah di dalam kitab-kitab terdahulu sehingga
mereka menjadi sesat.
“Di
antara orang-orang Yahudi ada Yang mengubah (atau menukar ganti)
Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya Yang
sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): “Kami dengar”,
(sedang mereka berkata Dalam hati): “Kami tidak akan menurut”.
(Surah an-Nisa, ayat 46)
24. Kepercayaan
kepada kebolehan wafaq.
Mempercayai
wafaq atau huruf Hija’iyah yang tertentu, yang tertulis sama ada
secara rajah ataupun tidak dan juga yang tidak dapat difahami
maksudnya, dapat mendatangkan sesuatu manfaat ataupun mudharat. Ini
adalah sebahagian dari amalan sihir yang menyesatkan. Apatah lagi
jika dikaitkan dengan sesuatu fahaman dan iktikad umpamanya boleh
melariskan perniagaan, mendekatkan jodoh dan menghindarkan penyakit.
25. Pengubatan
yang bercanggah dengan Islam.
Berubat
dengan kaedah yang salah dan haram disisi agama seperti menyembelih
ayam jantan/hitam, makan bara api, menilik di dalam air atau asap,
menitik lilin di dalam air untuk mengetahui sesuatu, mandi air najis,
membuka, melihat dan menyentuh aurat pesakit tanpa hajat,
berdua-duaan dengan pesakit.
26. Pengubatan
dengan bahan harum.
Berubat
dengan menggunakan bahan-bahan yang haram. Misalnya najis, darah,
nanah, air longkang, kain lampin, tuala/modes wanita yang mengandungi
kesan darah, sesuatu dari cebisan tubuh badan manusia, seperti
rambut, kuku, gigi dan tulang manusia.
27. Upacara
memanggil roh.
Mengadakan
upacara Tahdhirul
Arwah, kononnya
untuk memanggil roh-roh tertentu masuk kedalam badan seseorang,
seperti : memanggil roh Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani dan
sebagainya.
28. Pengubatan
tanpa sumber agama.
Berubat
dengan kaedah yang tidak ada asal usul dalam ugama seperti ilmu
cungkil urat dengan digaris-garis di hadapan jari kaki dan tangan
yang diurut di atas sebuah papan dengan menggunakan pisau tumpul,
menggunakan pahat atau penukul. Kononnya sebagai isyarat untuk
memulihkan sendi atau uray yang sakit. Juga memaku paku di tiang
rumah untuk menghilangkan sakit gigi, menggunakan keris, pisau,
pedang dan gambar.
29. Pengubatan
oleh bomoh bukan Muslim.
Berubat
dengan bomoh bukan Islam, seperti : sami Hindu, sami Buddha, paderi
Kristian dan tok batin Orang Asli yang menggunakan kaedah kepercayaan
terhadap agamanya ataupun jampi serapah agamanya.
30. Mendakwa
diri sebagai seorang kasysyaf.
Mendakwa
diri sebagai seorang wali yang kasysyaf dan boleh melihat jin dan
sebarang makhluk halus dan boleh menyembuhkan sebarang penyakit.
31. Mensyaratkan
pengeras yang pelik-pelik.
Seperti
mesti memberi benda tajam, atau bayaran yang berjumlah suku seperti
dua ringgit suku dan membawa pulut kuning dan telur berwarna.
Rujukan
:
Menjana
Masyarakat Beraqidah –
Himpunan Kertas Kerja Seminar Motivasi Masyarakat Beraqidah Majlis
Ilmu 2007, Cetakan Pertama : 2008, Diterbitkan oleh : Jabatan Perdana
Mentiri, NBD.
KESAN-KESAN
NEGATIF DARIPADA KEPERCAYAAN KHURAFAT
Kepercayaan
khurafat boleh membawa kepada kesan negatif kepada seseorang manusia.
Khurafat boleh menjadikan seseorang itu berlaku syirik kepada Allah
swt kerana mempercayai sesuatu atau ada kuasa yang lain daripada
Allah Taala yang mampu memberi pertolongan kepada mereka. Ini
menyebabkan seseorang itu terkongkong kerana pantang larang yang
diamalkan serta menyekat kebebasan berfikir yang mengakibatkan
seseorang itu lemah dan mundur dalam segala hal.
Bahkan
mereka sanggup menghabiskan wang, tenaga dan membuang masa mereka
dengan sia-sia. Akhirnya perkara tersebut menyebabkan berlakunya huru
hara dan perpecahan dalam masyarakat kita.
CARA-CARA
MENGATASI ATAU MENGHAPUSKAN KEPERCAYAAN KHURAFAT
Untuk
membenteras dan menghalang dari berlakunya kepercayaan khurafat di
kalangan masyarakat hari ini usaha-usaha da’wah dan penerangan
kepada semua peringkat umat Islam perlu dilaksanakan dengan lebih
meluas lagi. Pihak yang bertanggungjawab hendaklah mengambil tindakan
tegas terhadap golongan yang melakukan perkara khurafat iaitu
dengan mengenakan hukuman yang berat serta menghapuskan tempat-tempat
yang menjadi tempat pemujaan mereka seperti bina-binaan di atas kubur
yang dianggap keramat.
No comments:
Post a Comment