Sunday, January 13, 2013

Felda dapat Durian Runtuh


PUTRAJAYA 23 Dis. - Felda akan membayar bonus insentif produktiviti kepada para peneroka di tanah rancangan seluruh negara berjumlah RM102,584,000 pada akhir bulan ini.
Mengumumkan demikian dalam satu kenyataan hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar bayaran bonus itu adalah antara RM400 dan RM1,200 yang sama seperti tahun lepas bergantung kepada penghantaran hasil.
Menurut beliau, pembayaran bonus itu melibatkan seramai 95,949 atau 85.19 peratus daripada 112,635 peneroka sebagai menghargai sumbangan mereka terhadap kemajuan industri sawit dan getah negara serta insentif menghantar hasil melalui Felda.
"Bayaran bonus insentif produktiviti 2011 ini akan dibayar di pejabat rancangan. Kerajaan harap pemberian bonus ini akan menjadi perangsang kepada peneroka di seluruh negara untuk berusaha lebih gigih lagi bagi meningkatkan produktiviti masìng-masing.
"Saya juga ingin menyeru semua warga peneroka agar menyertai program bersama Felda selaras usaha berterusan yang dilaksanakan oleh agensi tersebut untuk meningkatkan paras pendapatan peneroka melalui bimbingan dan khidmat nasihat yang disediakan," kata beliau.
Perdana Menteri berkata, peneroka yang menghantar hasil melalui pengurusan rancangan dinilai berdasarkan penghantaran hasil dari Januari 2011 hingga Oktober 2011.
Bagi peneroka sawit, kelayakan minimum ialah 8.01 tan/hektar, manakala ganjaran maksimum ialah mereka yang menghantar hasil melebihi 19.00 tan/hektar ke atas.
"Bagi peneroka getah, kelayakan minimum ialah 600.01 kg/hektar dan ganjaran maksimum diberi kepada mereka yang menghantar hasil melebihi 1,400 kg/hektar.
"Bilangan peneroka yang terlibat dalam penghantaran hasil sawit dan getah ini adalah seramai 32,865 orang iaitu terdiri daripada 27,069 peneroka sawit dan 5,796 peneroka getah. Seramai 60,584 peneroka menanam semula bersama Felda dan kesemuanya menerima bonus maksimum RM1,200 peneroka seperti tahun lalu," kata beliau.
Menurut Najib, Felda turut memberikan pertimbangan khas kepada peneroka di beberapa rancangan yang prestasi hasilnya rendah sepanjang masa disebabkan tanaman tidak produktif dan menunggu giliran untuk ditanam semula.
Ini, kata beliau, termasuk kawasan kebun peneroka yang diambil bagi tujuan pembangunan.
Kata Perdana Menteri: "Turut terlibat dalam kategori ini adalah tanaman peneroka yang hasilnya rendah disebabkan serangan musuh penyakit seperti ganoderma, serangan ulat bungkus dan lain-lain. Kira-kira 2,500 peneroka terlibat dan kadar bayaran adalah RM400 seorang."
Menurut beliau, seramai 16,686 peneroka atau 14.81 peratus pula didapati tidak layak menerima bayaran insentif kerana tidak menghantar hasil kepada Felda dan juga kerana hasil mereka kurang daripada hasil minimum yang telah ditetapkan.
Selain itu, peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka dan tidak menghantar hasil, tidak akan dibayar bonus insentif itu.
Sumber : Utusan Online





No comments:

Post a Comment