Sejarah
China tercatat
dalam rekod-rekod sejarah tradisional yang wujud sejak dari zaman
Tiga Tokoh Mulia dan Lima Maharaja pada sekitar 5,000 tahun dahulu,
dan disokong oleh rekod-rekod arkeologi yang wujud sejak abad ke-16
SM. China merupakan salah satu tamadun berterusan yang tertua di
dunia. Kulit kura-kura dengan tanda-tanda yang membangkitkan kenangan
tulisan Cina kuno daripada Dinasti Shang wujud pada sekitar 1500 SM,
mengikut pentarikhan karbon. Peradaban Cina berasal daripada
negara-negara kota di lembah Sungai Kuning. Tahun 221 SM biasanya
diterima sebagai tahun ketika China disatukan di bawah sebuah
kemaharajaan besar atau empayar. Dinasti-dinasti berturut-turut dalam
sejarah China telah mengembangkan berbagai-bagai sistem birokrasi
untuk membolehkan maharaja China menguasai wilayah yang besar.
Asas-asas
tamadun Cina terdiri daripada pengenaan sistem tulisan yang sama oleh
maharaja Dinasti Qin pada abad ke-3 SM serta perkembangan ideologi
negara berdasarkan Konfusianisme pada abad ke-2 SM. China mengalami
zaman-zaman yang berselang-seli antara perpaduan dan perpecahan,
dengan kekadangnya penaklukan oleh orang-orang asing. Sebilangan
penakluk diasimilasi ke dalam kaum Cina. Pengaruh-pengaruh kebudayaan
dan politik dari banyak bahagian di Asia membawa gelombang-gelombang
penghijrahan, peluasan, dan asimilasi yang berturut-turut untuk
mencipta sebuah kebudayaan Cina.
Daripada
pemburu-pengumpul kepada petani
Apa
yang kini merupakan China dihuni oleh Homo
erectus melebihi sejuta tahun dahulu. Kajian yang baru-baru ini
menunjukkan bahawa alat-alat batu yang ditemui di
tapak Xiaochangliang telah wujud sejak 1.36 juta tahun
lagi, menurut pentarikhan magnetostratigraf.
Tapak arkeologi di Xihoudu, Provinsi Shanxi merupakan
rekod terawal tentang penggunaan api oleh Homo erectus dan
ditetapkan tarikhnya sebagai 1.27 juta tahun
dahulu. Ekskavasi-ekskavasi di Yuanmou dan kemudiannya
di Lantian menunjukkan penghunian awal. Spesimen Homo
erectus yang termasyhur yang ditemui di China pada tahun 1923 ialah
apa yang telah digelar Lelaki Peking. Dua buah
bekas tembikar yang digali di Gua Liyuzui yang terletak
di Liuzhou, Provinsi Guangxi masing-masing wujud sejak
16,500 SM dan 19,000 SM. Bukti terawal untuk
penanaman sekoi menetapkan tarikhnya pada sekitar 7000
SM. Alat-alat muzik yang boleh dimain, peringkat terawal sistem
tulisan bahasa Cina (masih diperdebatkan) dan
pengeluaran wain terawal di dunia telah ditemui di
tapak Jiahu. Jiahu merupakan peringkat terawal kebudayaan
Peiligang di kaunti Xinzheng, Henan, dan hanya 5%
telah diekskavasi sehingga tahun 2006.
Dengan pertanian datangnya banyak penduduk, dengan
keupayaan menyimpan dan mengagih-agihkan tanaman mendukung para
tukang dan pentadbir. Pada lewat zaman Neolitik, lembah Sungai
Kuning mula memperkukuh kedudukannnya sebagai suatu pusat
kebudayaan, dengan desa-desa pertama ditubuhkan. Desa-desa yang
paling penting dari segi arkeologi ialah desa-desa yang ditemui
di Banpo, Xi'an.
Sejarah
awal China dirumitkan oleh ketiadaan bahasa tuliasan pada zaman ini,
serta dokumen-dokumen dari zaman-zaman kemudian yang cuba
memerihalkan peristiwa-peristiwa yang berlaku berabad-abad dahulu.
Dari sesetengah segi, masalah ini terdiri daripada
penyelidikan-penyelidikan fikiran dan perasaan diri sendiri oleh
orang-orang Cina yang mengaburkan perbezaan antara fakta dan fiksyen
tentang sejarah awal mereka. Menjelang tahun 7000 SM,
orang-orang Cina telah menanam sekoi yang menimbulkan
kebudayaan Jiahu. Kebudayaan Yangshao kemudian digantikan
dengan kebudayaan Longshan pada sekitar 2500 SM.
Tapak-tapak arkeologi seperti
di Sanxingdui dan Erlitou membuktikan
sebuah tamadun Zaman Gangsa di China.
Pisau gangsa terawal yang wujud sejak 3000 SM ditemui
di Majiayao yang terletak di provinsi Gansu dan Qinhai.
Tiga
Tokoh Mulia dan Lima Maharaja
Rencana
utama: Tiga Tokoh Mulia dan Lima Maharaja
Catatan
Ahli Sejarah Agung, karya menyeluruh tentang sejarah China
terawal, ditulis oleh Sima Qian, ahli sejarah Cina, pada abad
ke-2 SM, manakala Catatan Tahunan Buluh mengesani sejarah
Cina sejak dari sekitar 2800 SM dengan pemerihalannya
tentang zaman Tiga Tokoh Mulia dan Lima Maharaja.
Pemerintah-pemerintah ini adalah raja-raja tokoh bijaksana separa
mitos serta contoh-contoh kesusilaan. Tradisi menganggap Maharaja
Kuning, salah satu daripada pemerintah-pemerintah tersebut, sebagai
leluhur bangsa Han.
Sima
Qian mengatakan bahawa sistem kerajaan pewarisan telah diasaskan
semasa Dinasti Xia, dan model ini kemudian dikekalkan
oleh Dinasti Shang dan Dinasti Zhou. Adalah semasa
zaman Tiga Dinasti (pinyin: sāndài) ini ketika China sejarah
termuncul.
Bekas
gangsa Lozenge Carven Ding yang ditemui di tapak Erlitou, istana Xia.
Rencana
utama: Dinasti Xia
Pemerihalan Sima
Qian dan Catatan Tahunan Buluh menetapkan tarikh
pengasasan Dinasti Xia pada 4,200 tahun dahulu, tetapi
tarikh ini masih tidak dapat disahkan. Terdapat 17 orang raja dalam
Dinasti Xia yang terdiri daripada 14 generasi, bermula dengan Yu
Agung sehingga Jie dari Xia, menurut Sima Qian dan
rekod-rekod lain pada Dinasti Qin yang kemudian.
Penduduk-penduduk
Shang dan Zhou telah wujud sejak permulaan Dinasti Xia dan merupakan
negeri-negeri lindungan Xia. Tempoh Dinasti Xia yang tepat masih
susah untuk ditetapkan, tetapi kini terhad kepada dua pilihan, iaitu
431 tahun atau 471 tahun.
Kebanyakan
ahli arkeologi kini mengaitkan Dinasti Xia dengan ekskavasi-ekskavasi
di Erlitou yang terletak di provinsi Henan tengah,
dengan sebuah relau lebur gangsa dari sekitar
tahun 2000 SM ditemui di sana. Tanda-tanda awal yang
ditemui pada tembikar dan cangkerang dari zaman ini telah dikatakan
merupakan leluhur askara-askara Cina moden. Dengan tidak adanya
banyak rekod tertulis yang sepadan dengan tulang-tulang orakelS Shang
atau tulisan-tulisan bekas gangsa Zhou, zaman Xia masih tidak
dapat difahami dengan memuaskan.
Rencana
utama: Dinasti Shang
Saki
baki masyarakat-masyarakat maju yang bertingkat-tingkat dan yang
wujud sejak dari zaman Shang telah ditemui di Lembah Sungai Kuning.
Simuwu
Ding daripada Dinasti Shang Lewat yang tingginya 133 sm, panjangnya
110 sm, lebarnya 79 sm, dan beratnya 832.84 kg, merupakan bekas
gangsa terbesar yang ditemui di dunia. Dibuat oleh Zu Jia dari Shang
untuk ibunya, Wu, isteri Wu Ding. Digali di Anyang pada
tahun 1939.
Rekod
tertulis yang terawal yang ditemui tentang masa lampau China
datangnya daripada Dinasti Shang, mungkin pada abad ke-13,
dan mengambil bentuk ukiran-ukiran rekod peramalan pada tulang dan
cangkerang haiwan — apa yang dipanggil tulang orakel.
Dapatan-dapatan arkeologi yang memberikan bukti terhadap
kewujudan Dinasti Shang antara sekitar 1600 SM–1046
SM dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama dari zaman
Shang yang lebih awal (k.k. 1600–1300 SM) berasal daripada
sumber-sumber di Erligang, Zhengzhou, dan Shangcheng.
Kumpulan kedua dari zaman Shang atau Yin yang kemudian terdiri
sebahagian besarnya daripada sekumpulan tulisan tulang orakel yang
besar. Anyang di Henan masa kini telah disahkan sebagai ibu
kota terakhir antara sembilan buah ibu kota Shang (k.k. 1300–1046
SM). Adanya 31 orang raja dalam Dinasti Shang, bermula dengan Raja
Tang hingga Raja Zhou, dengan dinasti ini merupakan dinasti
yang kekal paling lama dalam sejarah Cina.
Catatan
Ahli Sejarah Agung menyatakan bahawa Dinasti Shang memindahkan
ibu kotanya sebanyak enam kali. Pemindahan terakhir dan terpenting ke
Yin pada 1350 SM menghasilkan zaman kegemilangan dinasti
ini. Istilah 'Dinasti Yin' merupakan sinonim untuk dinasti
Shang dalam sejarah, walaupun pada akhir-akhir ini, ia telah
digunakan khusus untuk merujuk kepada separuh kedua Dinasti Shang.
Ahli-ahli
sejarah Cina yang hidup pada zaman-zaman kemudian telah membiasakan
diri dengan tanggapan satu dinasti mewarisi satu dinasti, tetapi
keadaan politik sebenar pada zaman China yang awal diketahui adalah
jauh lebih rumit. Oleh it, sebagaimana yang dicadangkan oleh
sesetengah cendekiawan China, Dinasti Xia dan Dinasti Shang mungkin
merujuk kepada entiti-entiti politik yang wujud sezaman, seperti
dengan Dinasti Zhou awal (negara pewaris Shang) yang diketahui
wujud pada zaman yang sama dengan Dinasti Shang.
Rekod-rekod
tertulis yang ditemui di Anyang mengesahkan kewujudan dinasti Shang.
Bagaimanapun, cendekiawan-cendekiawan Barat seringnya meragui tentang
perkaitan antara petempatan-petempatan sezaman petempatan Anyang
dengan dinasti Shang. Umpamanya, dapatan-dapatan arkeologi
di Sanxingdui membayangkan peradaban berteknologi maju yang
tidak sama dengan Anyang dari segi kebudayaan. Bukti-bukti yang ada
tidak dapat membuktikan dengan muktamad tentang betapa jauh alam
Shang terbentang dari Anyang. Hipotesis terutama adalah bahawa
Anyang, yang diperintah oleh dinasti Shang yang sama dalam sejarah
rasmi, wujud bersama-sama dan berdagang dengan banyak petempatan yang
mempunyai berbagai-bagai kebudayaan di kawasan yang kini dirujuk
sebagai China wajar.
Rencana
utama: Dinasti Zhou
Menjelang
akhir milenium ke-2 SM, Dinasti Zhou mula bangkit di
lembah Sungai Kuning dan menakluki dinasti Shang. Dinasti
Zhou kelihatan memulakan pemerintahannya di bawah sebuah sistem
separa feudal. Masyarakat Zhou merupakan penduduk-penduduk di barat
Shang, dengan ketuanya dilantik sebagai "Pelindung Barat"
oleh Shang. Raja Wu, pemerintah Zhou, dengan bantuan Duke
Zhou, bapa saudaranya yang merupakan pemangku raja, dapat
menewaskan Shang dalam Pertempuran Muye. Raja Zhou ketika itu
mempergunakan konsep Mandat Syurga untuk mewajarkan
pemerintahannya, satu konsep yang kemudian dipergunakan oleh hampir
setiap dinasti yang berikut. Dinasti Zhou pada asalnya memindahkan
ibu kotanya ke barat di kawasan dekat Xi'an masa kini yang
berhampiran dengan Sungai Kuning, dan mengawal satu siri peluasan
masuk ke lembah Sungai Yangtze dari sana. Ini merupakan
penghijrahan pertama antara banyak penghijrahan dari utara ke selatan
dalam sejarah Cina.
Zaman
Musim Bunga dan Musim Luruh
Rencana
utama: Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh
Pada abad
ke-8 SM, kuasa Dinasti Zhou terpencar semasa Zaman Musim Bunga
dan Musim Luruh, zaman yang dinamai sempena nama Catatan Tahunan
Musim Bunga dan Musim Luruh yang terpengaruh. Dalam zaman ini,
ketua-ketua tentera tempatan yang dilantik oleh Dinasti Zhou mula
mempergunakan kuasa mereka untuk memperoleh hegemoni. Keadaan
ini diburukkan oleh serangan-serangan daripada orang-orang di barat
laut seperti Qin, dan memaksa Dinasti Zhou untuk memindahkan ibu
kotanya ke timur Luoyang. Ini menandakan fasa kedua Dinasti Zhou
yang besar: Zhou Timur. Di dalam setiap negeri yang muncul,
tokoh-tokoh tempatan yang kuat memiliki kebanyakan kuasa politik dan
meneruskan kepatuhan mereka kepada raja-raja Zhou pada nama sahaja.
Umpamanya, ketua-ketua tempatan mula menggunakan gelaran-gelaran
diraja pada diri sendiri. Seratus Aliran Fikiran falsafah
Cina berbunga semasa zaman ini, termasuk gerakan-gerakan intelektual
yang terpengaruh seperti Konfusianisme, Taoisme, Ultrakeundangan,
dan Mohisme yang diasaskan sebahagian sebagai gerak balas
terhadap dunia politik yang berubah-ubah. Zaman Musim Bunga dan Musim
Luruh ditandakan dengan perpecahan kuasa pusat Zhou, dengan China
ketika itu terdiri daripada beratus-ratus negeri, dengan
sebilangannya hanya sebesar desa dengan sebuah kubu.
Zaman
Negeri-negeri Berperang
Rencana
utama: Zaman Negeri-negeri Berperang
Selepas
pengukuhan politik yang lanjut, tujuh buah negeri yang terutama
tertinggal pada akhir abad ke-5 SM, dengan tahun-tahun yang
negeri-negeri ini bertempur satu sama lain dikenali sebagai Zaman
Negeri-negeri Berperang. Walaupun terdapat raja Dinasti
Zhou yang memerintah pada nama sahaja sehingga tahun 256
SM, baginda tidak memegang banyak kuasa yang benar. Semasa
wilayah-wilayah yang berjiran dengan negeri-negeri berperang itu
diilhakkan, umpamanya kawasan-kawasan di Sichuan dan Liaoning masa
kini, kawasan-kawasan ini diperintah di bawah sebuah sistem
pentadbiran kekomanderan dan prefektur tempatan
yang baru. Sistem ini telah diamalkan sejak Zaman Musim Bunga dan
Musim Luruh dan sebahagiannya masih dapat dilihat dalam sistem Sheng
& Xian (provinsi dan kaunti) masa kini. Peluasan
terakhir zaman ini bermula dengan pemerintahan Ying Zheng, raja Qin.
Penyatuannya terhadap enam buah kuasa yang lain serta
pengilhakan-pengilhakan lanjut di
kawasan-kawasan Zhejiang, Fujian, Guangdong,
dan Guangxi masa kini pada tahun 214 SM membolehkannya
mengisytiharkan diri sebagai Maharaja Pertama (Qin Shi
Huangdi). Baginda menggolongkan masyarakatnya menjadi tiga kelas,
iaitu Raja, golongan bangsawan, dan golongan petani, untuk membantu
mengawal kemaharajaannya.
Dinasti Qin:
Permulaan Empayar China
Qin
Shi Huang, maharaja China yang pertama.
Rencana
utama: Maharaja Qin
Ahli-ahli
sejarah sering merujuk kepada tempoh dari Dinasti Qin sehingga
keakhiran Dinasti Qing sebagai Empayar China. Walaupun
pemerintahan Maharaja Qin hanya berlangsung selama dua
belas tahun, baginda dapat menaklukkan banyak kawasan yang kemudian
menjadi teras tanah air bangsa Han dan menyatukan
penduduk-penduduk kawasan tersebut di bawah sebuah
kerajaan ultrakeundangan terpusat yang ketat yang berpusat
di Xianyang (Xi'an masa kini). Doktrin ultrakeundangan yang
memandu pemerintahan Qin menegaskan pematuhan yang tegas kepada
sebuah kod undang-undang serta kuasa mutlak maharaja. Sedangkan
falsafah ini amat berkesan untuk memperluas empayar dengan gaya
ketenteraan, ia terbukti tidak berjaya untuk memerintah pada waktu
aman. Qin menindas sebarang penentangan politik dengan kejam,
termasuk peristiwa yang dikenali sebagai "Membakar karya klasik
dan mengebumikan cendekiawan". Ini kemudian menjadi pencetus
untuk Sintesis Han yang menggabungkan aliran-aliran fikiran tadbiran
politik yang lebih sederhana.
Dinasti
Qin amat dikenali untuk memulakan Tembok Besar China yang
kemudian dilanjutkan oleh Dinasti Ming. Sumbangan-sumbangan
utama Qin yang lain termasuk penyatuan kod undang-undang, bahasa
tulisan dan mata wang China selepas penderitaan Zaman
Musim Bunga dan Musim Luruh serta Zaman Negeri-negeri
Berperang. Perkara-perkara yang paling asas seperti
panjangnya gandar kereta kuda juga diseragamkan untuk
memastikan sebuah sistem perdagangan yang berdaya di
seluruh empayar.
Dinasti
Han: Zaman kemakmuran
Rencana
utama: Dinasti Han
Dinasti
Han muncul pada tahun 202 SM dan merupakan dinasti
pertama untuk memeluk falsafah Konfusianisme yang kemudian
menjadi asas ideologi kepada semua rejim sehingga keakhiran empayar
China. Di bawah Dinasti Han, China mencapai kemajuan yang ketara
dalam banyak bidang seni dan sains. Maharaja
Wu (Han Wudi) mengukuhkan dan memperluas empayar China dengan
mengundurkan puak Xiongnu (kekadang digolongkan dengan
kaum Hun) masuk ke dalam steppe Mongolia Dalam masa
kini, dan merampas kawasan-kawasan Gansu, Ningxia,
dan Qinghai masa kini. Ini membolehkan pembukaan buat
pertama kali hubungan-hubungan perdagangan antara China dengan Dunia
Barat melalui Laluan Sutera.
Bagaimanapun,
pemerolehan tanah-tanah oleh keluarga-keluarga elit beransur-ansur
menyusutkan sumber cukai. Pada tahun 9 Masihi,
perampas Wang Mang mengasaskan Dinasti Xin yang
tidak dapat kekal lama dan memulakan rancangan-rancangan reformasi
tanah yang meluas serta pembaharuan-pembaharuan eknonomi yang lain.
Bagaimanapun, rancangan-rancangannya tidak pernah disokong oleh
keluarga-keluarga pemilik tanah kerana perubahan-perubahan tersebut
memihak kepada golongan petani dan ningrat yang bertaraf rendah.
Ketakstabilan yang diakibatkannya akhirnya mencetuskan keadaan
kelam-kabut dan pemberontakan.
Maharaja
Guangwu kemudian memulihkan Dinasti Han di Luoyang yang
terletak di timur Xi'an, dengan bantuan keluarga-keluarga
pemilik tanah dan pedagang. Zaman baru itu diistilahkan
sebagai Dinasti Han Timur. Bagaimanapun, kuasa Han merosot di
tengah-tengah pemerolehan tanah, serangan, dan pertikaian antara
puak-puak gundik dengan para sida-sida. Pemberontakan
Serban Kuning tercetus pada tahun 184 dan memulakan
zaman hulubalang. Dalam kerusuhan yang menyusul, tiga buah
negeri cuba mencapai kekuasaan dalam apa yang dipanggil zaman Tiga
Kemaharajaan. Zaman itu telah diolah secara romantik dalam
karya-karya Cina seperti Kisah Tiga Kemaharajaan.
Rencana
utama: Dinasti Jìn (265-420)
Walaupun
ketiga-tiga kumpulan disatukan buat sementara pada
tahun 278 oleh Dinasti Jin, kelompok-kelompok etnik
bukan bangsa Han (Wu Hu) mengawal kebanyakan kawasan negara pada
awal abad ke-4 dan menimbulkan penghijrahan orang-orang
Han secara besar-besaran ke selatan Sungai Yangtze. Pada
tahun 303, kelompok etnik Di memberontak dan kemudian
menawan Chengdu serta menubuhkan negeri Cheng Han. Di
bawah Liu Yuan, puak Xiongnu memberontak
berdekatan Kaunti Linfen masa kini dan menubuhkan
negeri Han Zhao. Liu Cong, pewarisnya, menangkap
dan menghukum mati dua orang maharaja Jin Barat yang
terakhir.
Enam
belas Kemaharajaan merupakan sekumpulan dinasti bukan Cina yang
tidak dapat kekal lama yang mula memerintah seluruh atau sebahagian
China utara sejak tahun 303. Banyak kelompok etnik terlibat,
termasuk leluhur-leluhur Turki, Mongol, dan Tibet.
Kebanyakan kaum-kaum nomad yang kecil itu telah dipercinakan pada
setakatnya jauh lebih lama sebelum kebangkitan mereka untuk berkuasa.
Sebenarnya, sebilangan mereka, khususnya puak Ch'iang dan puak
Xiong-nu, telah dibenarkan menghuni di kawasan-kawasan sempadan di
dalam kawasan Tembok Besar sejak zaman Akhir Dinasti Han lagi.
Dinasti-dinasti
Selatan dan Utara
Rencana
utama: Dinasti-dinasti Selatan dan Utara
Zaman
ini merupakan tempoh perpecahan besar dan perang-perang tidak
henti-henti.
Dinasti
Sui: Penyatuan semula
Rencana
utama: Dinasti Sui
Dinasti
Sui yang berjaya menyatukan negara China pada tahun 589 selepas
hampir empat abad perpecahan politik (ketika bahagian utara dan
bahagian selatan berkembang secara berasingan) memainkan peranan yang
lebih penting daripada apa yang tempoh kewujudannya membayangkan.
Dengan cara yang sama dengan raja-raja Dinasti Qin yang menyatukan
China pada abad ke-3 SM selepas Zaman Negeri-negeri Berperang,
Dinasti Sui menyatukan China semula dan memulakan banyak institusi
yang kemudian diterimaguna oleh pewaris-pewarisnya seperti Dinasti
Tang. Bagaimanapun, serupa dengan Dinasti Qin, sumber-sumber Dinasti
Sui tidak dapat membiayai usaha-usaha mereka dan akhirnya
mengakibatkan kejatuhannya. Dan seperti dengan kes Dinasti Qin,
sejarah tradisional tidak memberikan pertimbangan yang adil kepada
Dinasti Sui apabila ia menegaskan kekerasan rejim Sui
serta megalomania maharaja keduanya, dan hampir
mengetepikan sebarang penghargaan untuk banyak pencapaiannya yang
positif.
Dinasti
Tang: Pemulihan kemakmuran
Kuda
porselin glis tiga warna Dinasti Tang Cina (k.k. 700
Masihi.)
Rencana
utama: Dinasti Tang
Pada 18
Jun 618, Gaozu naik takhta dan Dinasti Tang yang
diasaskan memulakan zaman kemakmuran yang baru serta inovasi-inovasi
dalam bidang seni dan teknologi. Agama
Buddha yang beransur-ansur bertapak di China sejak dari abad
ke-1 menjadi agama utama dan dianuti oleh keluarga
diraja serta banyak orang biasa.
Chang'an (Xi'an masa
kini), ibu negaranya, dipercayai merupakan ibu kota yang terbesar di
dunia ketika itu. Dinasti Tang dan Dinasti Han sering
dirujuk sebagai zaman yang paling makmur dalam sejarah Cina. Seperti
dengan Dinasti Han, Dinasti Tang mengekalkan laluan-laluan
perdagangan ke barat dan selatan yang menyebabkan perdagangan yang
meluas dengan negara-negara asing yang jauh, dengan banyak pedagang
asing menetap di China.
Sejak
dari sekitar tahun 860, Dinasti Tang mula merosot, akibat satu
siri pemberontakan di dalam China sendiri, serta di
Kemaharajaan Nanzhao yang dahulu ditaklukkan di
selatan. Huang Chao, salah seorang hulubalang,
menawan Guangzhou pada tahun 879 dan membunuh
kebanyakan daripada 200,000 penghuninya serta sebahagian besar koloni
keluarga pedagang asing yang besar di sana. Pada lewat tahun 880,
Luoyang menyerah kalah dan pada 5 Januari 881, Huang
Chao menaklukkan Changan. Maharaja Xizong melarikan
diri ke Chengdu, dan Huang mengasaskan sebuah rejim baru yang
tidak lama kemudian dimusnahkan oleh tentera Tang. Bagaimanapun, lagi
sebuah tempoh huru-hara politik menyusul.
Lima
Dinasti dan Sepuluh Kerajaann
Rencana
utama: Lima Dinasti dan Sepuluh Kerajaan
Tempoh
perpecahan politik antara Dinasti Tang dengan Dinasti
Song yang dikenali sebagai Zaman Lima Dinasti dan Sepuluh
Kemaharajaan berlangsung selama sedikit melebihi setengah abad
dari tahun 907 sehingga tahun 960. Pada zaman yang
singkat itu ketika China merupakan sebuah sistem berbilang negeri
dari apa jua segi, lima buah rejim berturut-turut menguasai kawasan
tengah empayar lama di China utara dengan cepat. Pada masa yang sama,
sepuluh buah rejim yang lebih stabil menduduki bahagian-bahagian
China di selatan dan barat dan oleh itu, zaman itu juga dirujuk
sebagai "Zaman Sepuluh Kemaharajaan".
Pembahagian
politik: Liao, Song, Xia Barat, Jin, Mongol
Rencana
utama: Dinasti Song
Pada
tahun 960, Dinasti Song (960-1279) bangkit untuk
berkuasa di kebanyakan bahagian China dengan ibu kotanya di Kaifeng,
dan memulakan suatu tempoh kemakmuran ekonomi, manakala Dinasti
Liao Khitan memerintah Manchuria dan Mongolia timur.
Pada tahun 1115, Dinasti Jin (1115-1234) Jurchen bangkit
dan memusnahkan Dinasti Liao dalam tempoh sepuluh tahun, dan hampir
mengambil alih China utara dan Kaifeng daripada Dinasti Song yang
memindahkan ibu kotanya ke Hangzhou. Dinasti Song Selatan juga
menderita keaiban apabila dipaksa untuk mengakui Dinasti Jin sebagai
dipertuan rasminya. Pada tahun-tahun yang menyusul, China dibahagikan
antara Dinasti Song, Dinasti Jin, dan Xia Barat Tangut.
Song Selatan mengalami satu tempoh perkembangan teknologi yang
ketara yang dapat dijelaskan sebahagiannya oleh tekanan ketenteraan
yang dirasainya dari utara.
Rencana
utama: Dinasti Yuan
Empayar
Jin ditewaskan oleh tentera Mongol yang kemudian mara
untuk menewaskan Song selatan dalam sebuah perang yang berpanjangan
dan berdarah. Perang ini merupakan perang pertama yang senjata
api memainkan peranan yang penting. Pada tahun-tahun selepas
peperangan tersebut yang kemudian dikenali sebagai Pax
Mongolica, pengembara-pengembara Barat seperti Marco
Polo membuat perjalanan sehingga ke China dan membawa balik
laporan-laporan pertama tentang keajaibannya ke Eropah. Di
China, orang-orang Mongol dibahagikan kepada mereka yang hendak
mengekalkan diri di steppe dan mereka yang ingin
mengamalkan adat resam bangsa Han.
Kublai
Khan, cucu Genghis Khan, hendak mengamalkan adat
resam bangsa Han dan mengasaskan Dinasti Yuan. Dinastinya
merupakan dinasti pertama yang memerintah seluruh China
dari Beijing sebagai ibu kotanya. Sebelum itu, Beijing
ialah ibu kota Dinasti Jin yang tidak memerintah seluruh China.
Beijing telah diserahkan kepada Dinasti Liao pada tahun 938,
bersama-sama 16 buah prefektur Yan Yun.
Dinasti Ming:
Kebangkitan semula pemerintahan bangsa Han
Rencana
utama: Dinasti Ming
(1368-1644)
Terdapat
sentimen yang bergelora di kalangan penduduk-penduduk terhadap
pemerintahan "orang asing" (dikenali sebagai Dázi) yang
akhirnya mencetuskan pemberontakan-pemberontakan petani.
Orang-orang Mongol diundurkan ke steppe dan
digantikan dengan Dinasti Ming pada tahun 1368.
Semasa
pemerintahan Mongol, jumlah penduduk telah menyusut sebanyak 40
peratus sehingga lebih kurang 60 juta orang. Dua abad kemudian,
jumlah ini bertambah sekali ganda. Pembandaran meningkat
apabila jumlah penduduk bertambah dan ketika pembahagian
kerja menjadi lebih rumit. Pusat-pusat bandar yang besar
seperti Nanjing dan Beijing juga menyumbangkan
kepada pertumbuhan industri swasta. Khususnya, industri-industri
skala kecil muncul dan seringnya mengkhususkan dalam pengeluaran
barang-barang kertas, sutera, kapas, dan porselin.
Banyak pusat bandar yang agak kecil dengan pasar-pasar sendiri muncul
di seluruh negara. Pasar-pasar bandar khususnya menjual makanan dan
sebilangan barang kegunaan rumah seperti jarum
peniti serta minyak masak.
Walaupun
terdapat xenofobia (gerun orang asing) dan kaji diri
intelektual yang mencirikan aliran fikiran neo-Konfusianisme baru
yang semakin popular, China di bawah Dinasti Ming awal tidak
terpencil. Perdagangan luar negeri dan hubungan-hubungan
dengan bahagian-bahagian lain di dunia, khususnya dengan Jepun,
bertambah dengan ketara. Pedagang-pedagang Cina menjelajah
kesemua Lautan Hindi, dan tiba di Afrika Timur dengan
pelayaran-pelayaran Zheng He (nama asalnya Ma Sanbao).
Zhu
Yuanzhang atau (Hong-wu), pengasas Dinasti Ming, menyediakan
asas untuk sebuah negara yang kurang minat akan perdagangan tetapi
lebih berminat untuk memungut hasil daripada sektor pertanian.
Mungkin kerana latar belakang maharaja ini yang merupakan seorang
petani, sistem ekonomi Dinasti Ming menekankan pertanian,
bertentangan dengan Dinasti Song dan Dinasti
Mongol yang bergantung kepada pedagang-pedagang untuk hasilnya.
Pemilikan tanah neo-feudal pada zaman dinasti-dinasti Song dan
Mongol diekspropriasi oleh raja-raja Ming. Ladang-ladang
besar dirampas oleh kerajaan dan dibahagikan untuk
disewa. Pengabdian peribadi diharamkan. Oleh itu, selepas
kemangkatan Maharaja Yong-le, terdapat lebih banyak petani yang
memiliki tanah sendiri dalam pertanian Cina. Undang-undang tersebut
mungkin membuka jalan untuk menghapuskan kemiskinan yang paling teruk
semasa rejim-rejim terdahulu. Undang-undang yang menyekat
pedagang-pedagang dan tukang-tukang dipeliharakan seperti di bawah
Dinasti Song, tetapi saki baki kelas pedagang asing kini dibawa ke
bawah undang-undang Ming yang baru. Dengan itu, pengaruh mereka
merosot dengan pantas.
Hubungan
asing Empayar Ming pada dekad 1580-an (ditunjukkan dengan warna biru
)
Dinasti
Ming mempunyai sebuah kerajaan pusat yang kukuh serta rumit yang
menyatukan dan menguasai seluruh empayar. Peranan maharaja menjadi
lebih autokratik, walaupun Zhu Yuanzhang masih meneruskan penggunaan
apa yang digelar "Setiausaha-setiausaha Agung" untuk
membantunya dalam kerja-kerja kertas birokrasi, seperti rayuan dan
cadangan kepada maharaja, edik empayar sebagai balasan,
berbagai-bagai laporan, serta rekod-rekod cukai. Adalah birokrasi
yang sama ini yang kemudian menghalang kerajaan Ming daripada
keupayaan untuk menyesuaikan diri kepada perubahan-perubahan dalam
masyarakat, dan akhirnya mengakibatkan kejatuhan Dinasti Ming.
Maharaja
Yong-le cukup aktif dalam percubaannya untuk memperluas pengaruh
China di luar sempadannya dengan menuntut ufti daripada
raja-raja yang lain. Sebuah angkatan tentera yang besar ditubuhkan,
dengan kapal-kapal empat tiang yang beratnya 1,500 tan dibina.
Sebuah angkatan tentera yang terdiri daripada sejuta orang askar
tetap (sebilangan anggaran menetapkan bilangan ini sebagai 1.9 juta
orang) ditubuh. Angkatan-angkatan tentera darat China
menaklukkan Annam, manakala armada Cina belayar di laut-laut
China serta Lautan Hindi sehingga pantai timur Afrika dan
memperoleh pengaruh terhadap Turkestan. Banyak negara lautan
Asia menghantar ufti kepada maharaja Cina. Di dalam negeri, Terusan
Agung diperbesar dan terbukti menjadi perangsang untuk
perdagangan dalam negeri. Melebihi 100,000 tan besi dikeluarkan
setiap tahun. Banyak buku dicetak dengan menggunakan movable type.
Istana empayar di Kota Larangan Beijing mencapai
keindahan kini. Zaman Dinasti Ming kelihatan merupakan zaman China
yang paling makmur. Adalah semasa abad-abad ini bahawa potensi China
selatan dieksploitasi sepenuhnya. Tanaman-tanaman baru ditanam secara
meluas, dan industri-industri seperti
pengeluaran porselin dan tekstil berkembang maju.
Dinasti
Ming juga merupakan dinasti terakhir yang mengerjakan Tembok
Besar China. Sedangkan tembok itu dibina pada masa-masa awal,
kebanyakannya yang dilihat pada hari ini dibina atau diperbaiki oleh
Dinasti Ming. Kerja-kerja bata dan granit diperbesar,
dan menara-menara pengawal direka bentuk semula, dengan
meriam-meriam ditempatkan pada sepanjang tembok tersebut.
Rencana
utama: Dinasti Qing
Dinasti
Qing (1644–1911) diasaskan selepas penewasan Dinasti
Ming, dinasti bangsa Han yang terakhir, oleh
tentera Manchu. Kaum Manchu yang dahulunya dikenali
sebagai Jurchen menyerang dari utara pada lewat abad
ke-17. Walaupun mereka bermula sebagai penakluk asing, mereka dengan
pantasnya mengamalkan norma-norma kerajaan Cina tradisional yang
mendasarkan Konfusianisme dan akhirnya memerintah dengan
gaya dinasti-dinasti asli.
Dinasti
Manchu menguatkuasakan 'perintah tocang' yang memaksa semua orang Han
untuk mengamalkan tocang Manchu serta memakai pakaian gaya mereka.
Masyarakat Manchu mempunyai gaya rambut yang istimewa. Mereka
menggunting semua rambut di bahagian depan kepala dan menjadikan
rambut di bahagian belakang kepala sebagai tocang yang panjang.
Pakaian Cina tradisional, atau Hanfu, juga digantikan dengan
pakaian gaya Manchu. Qipao (pakaian askar panji-panji) dan Tangzhuang
yang biasanya dianggap sebagai pakaian tradisional Cina pada hari ini
sebenarnya merupakan pakaian gaya Manchu. Hukuman ke atas sesiapa
yang tidak mematuhi undang-undang itu ialah hukuman mati.
Maharaja
Kangxi menitahkan penciptaan sebuah kamus askara Cina yang
paling lengkap ketika itu. Di bawah Maharaja Qianlong,
penyusunan sebuah katalog tentang karya-karya kebudayaan Cina
dilakukan.
Dinasti
Manchu memulakan sistem "Lapan Panji-panji" sebagai suatu
percubaan untuk mengelakkan asimilasi ke dalam masyarakat Cina.
"Lapan Panji-panji" itu merupakan institusi-institusi
tentera yang ditubuhkan untuk memberikan sebuah struktur yang para
"askar panji-panji" dapat mengaitkan diri. Keahlian kepada
panji-panji tersebut berdasarkan kemahiran Manchu dalam bidang-bidang
seperti memanah dan menunggang kuda, serta kehematan. Selain itu,
mereka juga digalakkan menggunakan bahasa Manchu, berbanding
dengan bahasa Cina. Para askar panji-panji diberikan hak
istimewa ekonomi dan undang-undang di kota-kota Cina.
Pada
separuh abad yang kemudian, kaum Manchu mengukuhkan kuasanya di
sebilangan kawasan yang pada asalnya dikuasai oleh Dinasti Ming,
termasuk Yunnan. Mereka juga memperluas lingkungan pengaruhnya
ke atas Xinjiang, Tibet, dan Mongolia.
Semasa abad
ke-19, kuasa Qing merosot. China mengalami persengketaan
sosial secara besar-besaran, ekonomi yang tidak berkembang, serta
penembusan dan pengaruh Barat. Keinginan Britain untuk
meneruskan perdagangan candu dengan China bercanggah
dengan edik-edik empayar yang mengharamkan dadah yang
menagihkan itu, dan Perang Candu Pertama tercetus pada
tahun 1840. Britain dan kuasa-kuasa Barat, termasuk Amerika
Syarikat, kemudian menduduki "konsesi" secara paksaan dan
memperoleh hak istimewa perdagangan. Hong Kong diserahkan
kepada Britain pada tahun 1842 di bawah Perjanjian
Nanking.
Selain itu, Pemberontakan Taiping (1851–1864)
dan Pemberontakan Petinju berlaku pada abad itu. Dari
banyak segi, pemberontakan-pemberontakan dan perjanjian-perjanjian
yang Dinasti Qing dipaksa mengikat dengan kuasa-kuasa imperialis
merupakan gejala-gejala ketakupayaan kerajaan China untuk membalas
dengan sempurna kepada keadaan-keadan yang mencabar China pada abad
ke-19.
Kedua-dua Perang
Candu yang tersebut di atas serta perdagangan candu membawa
akibat yang amat merugikan kepada dinasti Qing dan
penduduk-penduduk Cina. Perbendaharaan empayar Qing dua kali
diisytiharkan muflis, akibat pembayaran ganti rugi yang
dikenakan kerana perang-perang candu, serta aliran keluar logam
perak yang banyak, akibat perdagangan candu (pada tahap
berpuluh-puluh bilion auns). China mengalami
dua kebuluran yang paling teruk tepat dua puluh tahun
selepas setiap perang candu pada dekad 1860-an dan
dekad 1880-an, dengan kerajaan Qing tidak berupaya untuk
membantu penduduknya. Dari segi sosial, peristiwa-peristiwa ini
mempunyai kesan yang besar kerana ia mencabar hegemoni yang
dinikmati oleh orang-orang Cina di Asia selama
berabad-abad. Oleh itu, negara China di dalam keadaan huru-hara.
Pemberontakan
Taiping, sebuah pemberontakan yang besar, membabitkan sekitar satu
pertiga kawasan China yang dikuasai oleh Taiping Tianguo, gerakan
agama kuasi-Kristian yang diketuai oleh Hong Xiuquan, "Raja dari
Syurga". Hanya selepas empat belas tahun bahawa pemberontakan
Taiping akhirnya dihancurkan ketika angkatan tentera Taiping
dimusnahkan dalam Pertempuran Ketiga Nanking pada
tahun 1864. Pada keseluruhannya, antara 20 - 50 juta orang
dikorbankan, dan menyebabkan perang ini merupakan perang yang kedua
paling mengorbankan nyawa dalam sejarah manusia.
Pegawai-pegawai
Qing lambat menerima kemodenan dan berasa sangsi terhadap
kemajuan-kemajuan sosial dan teknologi yang diperlihatkan mereka
sebagai satu ancaman terhadap penguasaan mutlak mereka ke atas China.
Sebagai contoh, serbuk letupan yang telah digunakan secara
meluas oleh tentera-tentera Dinasti Song dan Dinasti
Ming diharamkan oleh raja-raja Qing selepas mereka mengambil
alih China. Oleh itu, Dinasti Qing tidak berupaya menangani pemasukan
negara-negara Barat. Kuasa-kuasa barat ada masuk tangan secara
ketenteraan untuk mengatasi keadaan huru-hara, seperti Pemberontakan
Taiping serta Pemberontakan Petinju anti-imperialis. Jeneral
Gordon, yang kemudian dibunuh dalam pengepungan Khartoum, Sudan,
sering diberikan penghargaan kerana menyelamatkan Dinasti Qing
daripada pemberontakan Taiping.
Menjelang
dekad 1980-an, Dinasti Qing berjaya mematahkan
pemberontakan Taiping pada kos dan pengorbanan nyawa yang amat
tinggi. Ini menjejaskan kebolehpercayaan rejim Qing dan dianjurkan
oleh para ketua dan ningrat provinsi tempatan, menyumbangkan kepada
kebangkitan hulubalang-hulubalang di China. Dinasti Qing di
bawah Maharaja Guangxu bermula untuk menangani masalah
kemodenan melalui Gerakan Pengukuhan Diri.
Bagaimanapun, antara
tahun 1898 dan tahun 1908, Maharani Balu
Cixi mempenjarakan reformis Guangxu atas tuduhan 'ketakupayaan
mental'. Dengan bantuan puak konservatif, Cixi memulakan sebuah
rampasan kuasa ketenteraan dan secara berkesan menghapuskan kuasa
Maharaja yang muda, serta memulihkan kebanyakan reformasi yang lebih
radikal. Maharaja tersebut mangkat sehari sebelum kematian Maharani
Balu (sesetengah orang mempercayai bahawa Guangxu diracuni oleh
Cixi). Amalan rasuah oleh para pegawai, kesinisan, serta
pergaduhan-pergaduhan keluarga diraja mengakibatkan kebanyakan
reformasi ketenteraan tidak berguna. Oleh itu, "Tentera Baru"
kerajaan Qing ditewaskan dengan teruk dalam Perang
China-Perancis (1883-1885) dan Perang China-Jepun
(1894-1895).
Pada
permulaan abad ke-20, Pemberontak Petinju mengancam
China utara. Para pemberontak merupakan gerakan anti-imperialis
konservatif yang cuba memulihkan China kepada cara-cara lama.
Maharani Balu yang mungkin cuba memastikan pemegangan kuasanya,
menyebelahi pihak petinju ketika mereka mara ke Beijing. Sebagai
gerak balas, Perikatan Lapan Negara menyerang China.
Perikatan itu yang terdiri daripada
tentera British, Jepun, Rusia, Itali, Jerman, Perancis, Amerika
Syarikat dan Austria, menewaskan petinju-petinju dan
menuntut lebih banyak konsesi daripada kerajaan Qing.
Rencana
utama: Sejarah Republik China
Dikecewakan
oleh tentangan istana Qing terhadap pembaharuan serta kelemahan
China, para pegawai muda, pegawai tentera, dan pelajar — diilhami
oleh gagasan-gagasan revolusi Sun Yat-sen — mula
menyokong penggulingan Dinasti Qing serta penciptaan sebuah republik.
Sebuah pemberontakan tentera, Pemberontakan Wuchang, dimulakan
pada 10 Oktober 1911 di Wuhan. Kerajaan
sementara Republik China dibentuk di Nanjing pada 12
Mac 1912, dengan Sun Yat-sen sebagai Presiden, tetapi
beliau terpaksa menyerahkan kuasanya kepada Yuan Shikai,
ketua Tentera Baru serta Perdana Menteri kerajaan
Qing, sebagai sebahagian perjanjian untuk menyebabkan penurunan
takhta raja Qing yang terakhir (satu keputusan yang Sun
kemudian berasa kecewa). Pada tahun-tahun berikut, Yuan Shikai
membubarkan dewan-dewan perundangan negara serta provinsi dan
pada tahun 1915, mengisytiharkan diri sebagai maharaja.
Cita-cita empayar Yuan ditentang dengan garang oleh orang-orang
bawahannya dan selepas menghadapi prospek pemberontakan, Yuan turun
takhta dan meninggal dunia tidak lama kemudian pada tahun 1916.
Kematiannya mengakibatkan kekosongan pucuk pimpinan dalam kerajaan
republik dan membawa satu zaman "hulubalang" ketika China
diperintah oleh kerajaan campuran yang terdiri daripada ketua-ketua
tentera provinsi yang berubah-ubah.
Satu
peristiwa pada tahun 1919 yang tidak dikesan oleh
negara-negara lain di seluruh dunia ialah penubuhan Gerakan 4
Mei yang membawa akibat jangka panjang kepada sejarah Cina pada
sepanjang abad ke-20 yang tinggal. Gerakan ini bermula
sebagai satu gerak balas terhadap keaiban yang dikenakan ke atas
China oleh Perjanjian Versailles yang mengakhiri Perang
Dunia I, tetapi kemudian menjadi sebuah gerakan bantahan terhadap
keadaan di dalam negeri China. Kesangsian terhadap falsafah Barat
yang liberal di kalangan intelektual Cina disusuli oleh penerimaan
aliran fikiran yang lebih radikal. Ini pula menyemai bibit-bibit
pertikaian yang tidak dapat diselesaikan antara sayap kiri dengan
sayap kanan di China yang menguasai seluruh sejarah Cina pada baki
abad itu.
Pada
dekad 1920-an, Sun Yat-Sen mengasaskan sebuah
pangkalan revolusi di China selatan, dan bermula untuk menyatukan
sebuah negara yang berpecah-belah. Dengan bantuan Soviet, beliau
menyertai sebuah perikatan dengan Parti Komunis China (CPC)
yang baru. Selepas kematian Sun pada tahun 1925, akibat penyakit
barah, Chiang Kai-shek, salah satu anak didik Sun, merampas
kuasa Kuomintang (KMT; bahasa Cina untuk "Parti
Nasionalis") dan berjaya menguasai kebanyakan kawasan selatan
dan tengah China di bawah sebuah kempen ketenteraan yang dikenali
sebagai Ekspedisi Utara. Selepas menewaskan
hulubalang-hulubalang di China selatan dan tengah, Chiang dapat
memperoleh kesetiaan daripada para hulubalang di utara, walaupun pada
nama sahaja. Pada tahun 1927, Chiang memusuhi CPC dan mengejar
angkatan tentera CPC serta ketua-ketuanya tanpa belas kasihan dari
pangkalan-pangkalan mereka di China selatan dan timur. Pada
tahun 1934, selepas dihalau dari pangkalan-pangkalan gunung
mereka yang termasuk Republik Soviet Cina, angkatan tentera CPC
memulakan Perarakan Panjang dan merentasi kawasan-kawasan
China yang terpencil ke arah barat laut. Akhirnya, mereka mengasaskan
sebuah pangkalan gerila di Yan'an di
Provinsi Shanxi.
Semasa
Perarakan Panjang, para ahli komunis disusun semula di bawah sebuah
ketua baru, Mao Zedong (Mao Tse-tung). Perjuangan yang
getir antara KMT dan CPC berterusan, baik secara terbuka mahupun
secara sulit, pada sepanjang tempoh serangan Jepun yang berlangsung
selama 14 tahun (1931-1945). Walaupun kedua-dua pihak membentuk
barisan bersatu untuk menentang penyerang-penyerang Jepun pada
tahun 1937 semasa bahagian Perang China-Jepun
(1937-1945) dalam Perang Dunia II, barisan itu merupakan
barisan pada nama sahaja. Perang antara kedua-dua pihak itu disambung
semula selepas kekalahan Jepun pada tahun 1945. Bagaimanapun
menjelang 1949, CPC telah menguasai kebanyakan negara China
(sila lihat: Perang Saudara Cina).
Chiang
Kai-shek melarikan diri dengan saki-baki kerajaannya ke Taiwan pada
tahun 1949, dan Parti Nasionalisnya menguasai pulau tersebut serta
beberapa pulau yang berjiran sehingga pilihan raya demokrasi diadakan
pada lewat dekad 1990-an. Sejak dari masa itu, status
politik Taiwan sentiasa dipertikaikan.
Rencana
utama: Sejarah Republik Rakyat China
Dengan
perisytiharan Republik Rakyat China (PRC) pada 1
Oktober 1949, China dibahagikan semula kepada Republik Rakyat
China di tanah besar dan Republik China (ROC)
di Taiwan serta Fujian yang merupakan beberapa
buah pulau terpencil. Kedua-dua kerajaan itu menganggap diri sebagai
kerajaan sebenar China dan mengecam satu sama lain sebagai
kerajaan haram. Sejak dekad 1990-an, ROC telah mendesak untuk
memperoleh pengiktirafan antarabangsa, manakala Republik Rakyat China
menentang bersungguh-sungguh terhadap sebarang penglibatan
negara-negara asing, dan mendesak bahawa segala hubungan luar negeri
tidak menyimpang daripada dasar Satu China.